Hannah Yeoh galak persatuan sukan anjur lebih banyak klinik latihan

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru persatuan sukan di seluruh negara agar menganjurkan lebih banyak klinik latihan bagi membangunkan kapasiti atlet dan jurulatih tempatan.

Beliau berkata beberapa jenis sukan yang mendapat sokongan dana sudah memulakan penganjuran klinik sedemikian dan capaiannya akan terus diperluaskan.

Kementerian Belia dan Sukan menyediakan dana untuk klinik-klinik itu yang sudah dimulakan dengan beberapa sukan termasuk sepak takraw dan wusyu.

“Kami akan cari dana yang sama untuk tahun depan supaya terus diperkasakan agar sukan lain juga menerima manfaat seperti itu,” katanya pada sidang media sempena penganjuran klinik skuasy oleh pemain legenda Australia David Palmer.

Bekas juara dunia itu mengadakan klinik skuasy selama empat hari dalam usaha menyokong pembangunan sukan berkenaan di Malaysia khususnya dalam kalangan jurulatih dan pemain tempatan.

Hannah berkata pendekatan membawa pakar sukan antarabangsa ke dalam negara adalah antara strategi berkesan untuk meningkatkan tahap kemahiran atlet dan jurulatih.

Beliau menekankan kepentingan pendekatan ini terutamanya apabila atlet dan jurulatih tidak berpeluang menjalani latihan di luar negara.

Menyentuh mengenai insiden kemalangan maut membabitkan seorang peserta acara kayuhan berbasikal di Langkawi semalam, Hannah mengesahkan penganjuran acara berkenaan telah dikenakan sekatan oleh KBS.

Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *