KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat Sarawak 1447 Hijrah yang bermula dari Padang Merdeka.
Perarakan ini melibatkan kira-kira 10,000 peserta daripada 209 kontingen dengan perjalanan sejauh tiga kilometer di sekitar pusat bandaraya.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut serta dalam perarakan tersebut.
Dalam amanatnya semasa perhimpunan sebelum perarakan, Tun Wan Junaidi menekankan pentadbiran Sarawak menjadikan prinsip maqasid syariah sebagai asas perancangan dasar dan pembangunan.
Beliau menyatakan pembangunan yang dilaksanakan mesti memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta selaras dengan tuntutan Islam.
“Pelaksanaan Post Covid Development Strategy 2030 (PCDS 2030) memberi penekanan terhadap keseimbangan ekonomi digital, alam sekitar, sosial dan inklusiviti,“ katanya.
Tun Wan Junaidi menegaskan menjadi tanggungjawab bersama untuk mempertahankan prinsip ini demi keadilan dan kesejahteraan seluruh rakyat. – Bernama