KUANTAN: Seorang tukang jahit mengalami kerugian RM103,000 selepas diperdaya seorang ‘bomoh scammer’ yang dikenali melalui aplikasi media sosial.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi menyatakan mangsa berusia 51 tahun itu merupakan seorang ibu tunggal dari Terengganu yang membuat laporan polis semalam.
Mangsa ditipu oleh suspek lelaki yang menawarkan rawatan perubatan mistik sehingga mendorongnya menyerahkan harta serta rakaman video dan gambar tidak senonoh.
Mangsa menjual empat utas gelang tangan emas berjumlah RM71,350 di sebuah kedai emas di Chukai pada 3 September.
Wanita itu kemudian meletakkan wang tunai RM71,000 bersama seutas rantai emas seberat 80 gram berhampiran longkang di kawasan Kota Bahagia.
Suspek menjanjikan mangsa akan menerima semula wang itu dalam tempoh tiga hingga empat hari atau dua minggu sebagai helah untuk memujuknya meneruskan rawatan.
Mangsa juga diarahkan merakam video dan gambar tidak senonoh dengan mana-mana lelaki.
Wanita berkenaan akur dan menyerahkan rakaman serta gambar dalam keadaan tidak berpakaian kepada suspek pada 5.30 pagi 4 September.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran rawatan mistik atau individu tidak dikenali melalui media sosial. – Bernama