ALOR SETAR: Seorang peserta acara kayuhan berbasikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Muda, Langkawi hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi itu mengorbankan Low Beng Seng berusia 28 tahun dari Langkawi.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menerima maklumat mengenai insiden tersebut kira-kira pukul 8.45 pagi.
Siasatan awal mendapati mangsa sedang berkayuh bersama beberapa pelumba kelompok belakang dalam acara kayuhan sejauh 68 kilometer.
Mangsa dipercayai cuba mengelak daripada bergesel dengan pelumba lain menyebabkan beliau tercampak ke laluan bertentangan.
Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa bertembung dengan kereta yang dipandu wanita berusia 26 tahun dari arah hadapan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk proses bedah siasat.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini telah tular satu video berdurasi 20 saat di media sosial yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut. – Bernama