Pakar Patologi buat laporan polis setelah terima ugutan

KOTA KINABALU: Polis menerima laporan daripada Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth Dr Jessie Hiu berhubung ugutan diterimanya selepas menjadi saksi di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata laporan polis itu dibuat oleh Dr Hiu semalam.

“Ada terima ugutan yang dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth. Kes sedang dalam siasatan polis,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam prosiding inkues pada minggu lepas, Dr Hiu, 58, yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara Qairina membacakan pernyataan saksi memberitahu mahkamah pelajar itu tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor asrama sekolahnya.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah mayat Zara Qairina berada pada tahap pereputan sederhana hingga lanjut dan keadaan itu selari dengan tempoh pengebumian di dalam tanah.

Dr Hiu berkata kecederaan itu konsisten dengan maklumat yang didokumenkan dalam rekod perubatan si mati, imbasan tomografi berkomputer (CT), aniografi tomografi berkomputer (CTA) dan radiograf.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, setelah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *