KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan warga emas Ahmad Hussin, 71, yang dikhuatiri lemas selepas keluar memancing seorang diri di perairan Tumpat, semalam.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata operasi itu ditangguhkan selepas pencarian meliputi kawasan laut seluas kira-kira 881 batu nautika persegi itu gagal menemukan sebarang petunjuk.
“Kita turut berdepan cabaran keadaan laut tidak menentu dengan angin kencang serta ribut namun aset penguatkuasaan tetap melakukan rondaan serta pemantauan berterusan di perairan negeri ini.
“Sehingga hari ini, tiada sebarang petunjuk ditemui. Kita juga ingin ucap terima kasih kepada Bahagian Operasi Udara APMM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam Op CARILAMAT ini. Penghargaan turut dirakamkan kepada Pusat Penyelarasan Penyelamatan Bangkok (RCC) Thailand atas kerjasama yang turut diberikan,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau turut menasihati komuniti nelayan agar sentiasa mengambil berat aspek keselamatan ketika turun ke laut dengan memakai jaket keselamatan dan bergerak dalam kumpulan sekurang-kurangnya dua orang bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Sementara itu, anak bongsu Ahmad Hussin, Mohd Zulkarnain Ahmad, 31, berharap ayahnya dapat ditemui walaupun hanya jasad.
“Semalam, keluarga saya turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di Masjid Bunohan agar ayah ditemui dalam keadaan selamat meskipun sedar operasi pencarian masih menemui jalan buntu. Kami tetap reda jika dia sudah ‘tiada’ dan sekiranya ditemui boleh dikebumikan secara lebih sempurna.
“Setakat ini kami sekeluarga juga buntu kerana tiada petunjuk mengenai ayah saya termasuk bot serta barangan yang dibawa bersamanya yang masih juga tidak ditemui,“ katanya.
Nelayan warga emas yang juga bapa kepada tujuh anak itu dilaporkan keluar memancing menaiki bot fiber dari Jeti Tanjung Kuala pada 7.30 pagi Ahad lepas untuk mencari ikan kerisi dan cencaru namun gagal pulang seperti kebiasaan pada tengah hari – BERNAMA