Gajah jantan remaja ditangkap PERHILITAN selepas berkeliaran di Jerantut

KUANTAN: Seekor gajah jantan remaja yang dikesan berkeliaran di kawasan kuarters Klinik Kesihatan Bandar Jerantut semalam berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata pihaknya akan memindahkan haiwan liar tersebut ke habitat sesuai seperti di Taman Negara.

“Kejadian ini jarang berlaku di kawasan berkenaan namun ia merupakan sesuatu yang biasa bagi gajah jantan remaja untuk keluar daripada kumpulannya,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan seekor gajah dikesan berkeliaran di kawasan kuarters Klinik Kesihatan Bandar Jerantut.

Rozidan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan gajah liar.

“Segera laporkan kepada PERHILITAN jika melihat atau mengesan haiwan liar bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil, sekali gus mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,“ katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kejadian itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada pagar kuarters berkenaan.

“Gajah itu pada mulanya cuba memasuki kawasan hutan di tepi klinik. Ketika ia cuba melintas, ia terpijak pinggir pagar di kawasan berkenaan,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *