IPOH: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan mencukupi sepanjang musim tengkujuh sekali gus mampu menstabilkan harga.
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah proaktif sudah diambil termasuk penyediaan stok simpanan lebih 1,000 metrik tan ikan oleh LKIM.
Pihak swasta turut mempunyai hampir 15,000 metrik tan stok ikan untuk memastikan bekalan tidak terjejas.
“Apabila bekalan berkurangan, stok simpanan ini akan dikeluarkan selain kita turut mengimport ikan tertentu bagi menampung permintaan.”
“Dengan jaminan bekalan mencukupi, insya-Allah harga ikan dapat dikawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak 2025.
LKIM turut memeterai memorandum persefahaman dengan syarikat dan pemain industri swasta bagi memastikan rantaian pemasaran ikan berjalan lancar.
“Orang tengah tetap diperlukan bagi memastikan perniagaan bergerak.”
“Namun, saya berharap mereka menunjukkan keprihatinan dengan tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya. – Bernama