SERDANG: Usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairul Aming menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025.
Beliau menyatakan rasa terkejut dengan pengiktirafan tersebut kerana tidak menjangka tersenarai bersama tokoh-tokoh hebat lain.
Khairul Aming mendedikasikan anugerah ini kepada semua usahawan kecil yang berusaha mencari rezeki halal walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua usahawan di luar sana, terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil yang baru belajar berniaga, berniaga di tengah-tengah panas, di tengah-tengah hujan.”
Beliau menegaskan kejayaan dalam perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan tetapi juga keberkatan dan hubungan baik dengan pelanggan.
Khairul Aming turut berkomitmen untuk menggunakan platform media sosialnya sebagai medium memperkenalkan produk usahawan kecil.
Pelakon terkenal Ardini Angeline Tan atau Angeline Tan menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) 2025.
Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai simbol kekuatan dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.
“Angeline rasa syukur alhamdulillah, sangat terharu dan macam tak percaya, Angeline yang sangat kecil ini diberi satu anugerah yang sangat besar dan bermakna pada hari yang sangat mulia ini.”
Angeline berkata anugerah itu menjadi semangat baharu untuknya terus menyampaikan mesej Islam yang sebenar kepada bukan Islam.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW bertemakan “Membangun Ummah MADANI”.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im telah melepaskan dan mengetuai perarakan kontinjen sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Seramai 6,104 peserta dengan 119 kontinjen menyertai perarakan sejauh 1.1 kilometer dari kawasan parkir utama ke Dewan A MAEPS. – Bernama