TFC sertai perlawanan amal di Thailand bulan depan

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan menjalani kem latihan selama tiga hari di Stadium Tinsulanonda, Songkhla, Thailand bermula 10 Oktober ini untuk menyertai siri perlawanan amal antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai menyatakan penyertaan itu adalah atas jemputan Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Songkhla yang ingin mengukuhkan kerjasama bola sepak dan sukan antara kedua-dua negara.

Selain TFC, perlawanan amal tersebut turut melibatkan penyertaan Songkhla FC, Buriram United dan BG Pathum United yang bermain dalam liga utama Thailand.

“TFC amat berbangga dengan jemputan ini kerana ia memberikan peluang kepada pasukan untuk mendapatkan pengalaman menentang kelab terkemuka negara jiran.

“Ini juga merupakan satu penghargaan hasil penglibatan kami di peringkat Asia dan ASEAN sebelum ini yang membuka mata pihak luar terhadap kualiti serta reputasi skuad Penyu,“ katanya dalam satu kenyataan.

Sheikh Farouk menambah bahawa penyertaan TFC bukan sekadar tanda persahabatan tetapi juga bertujuan menggalakkan lebih ramai individu terlibat dalam acara sukan khususnya bola sepak.

Beliau menjelaskan semua hasil kutipan daripada perlawanan tersebut akan digunakan untuk membeli peralatan sukan yang akan disalurkan kepada sekolah-sekolah memerlukan di Thailand.

“Kami juga memanfaatkan perlawanan ini sebagai medan latihan untuk pemain meningkatkan mutu permainan pada masa akan datang,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *