Sektor pembuatan Perak catat pertumbuhan 5.1% perkukuh ekonomi negeri

IPOH: Sektor pembuatan terus menjadi pemacu utama ekonomi negeri Perak dengan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1% pada tahun 2024.

Pencapaian ini menyumbang sebanyak 19.4% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Perak 2024.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan kejayaan sektor tersebut menjadi faktor penting kepada lonjakan keseluruhan pertumbuhan ekonomi negeri kepada 4.4%.

Nilai KDNK negeri mencecah RM86.2 bilion berbanding 2.7% pada tahun sebelumnya yang membuktikan Perak berada pada landasan tepat.

“Pencapaian ini menegaskan hakikat bahawa sektor pembuatan menjadi pemacu utama kepada pelaburan, penciptaan pekerjaan serta peningkatan daya saing negeri,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-57 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di Ipoh.

Saarani menegaskan komitmen penuh kerajaan negeri untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada kerjasama termasuk bersama FMM.

Usaha itu akan membawa manfaat bersama bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga kepada penggiat dan pemain industri.

Beliau yakin dengan iltizam bersama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak industri melalui FMM dan rakyat, Perak mampu menjadi model negeri industri moden.

Dari sudut tenaga kerja, indikator pasaran buruh menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran Perak turun kepada 3.6%.

Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 66.56% manakala purata gaji bulanan Perak meningkat kepada RM2,973 pada 2023.

Inisiatif kemahiran mula menampakkan hasil dengan gaji kekal dalam trend menaik. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *