RMK13 fokus lonjakan industri teknologi tinggi dan pertumbuhan ekonomi baharu

PUTRAJAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi dokumen penting yang merangka strategi pembangunan negara untuk tempoh lima tahun mendatang dengan tujuan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam arus global yang kian mencabar.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan pembangunan negara akan ditunjangi peralihan secara menyeluruh kepada pendigitalan dan teknologi maklumat termaju terutama kecerdasan buatan serta pembangunan sistem sosial berteraskan insan Madani.

Hala tuju RMK-13 berpaksikan kepada tiga teras Ekonomi MADANI iaitu meningkatkan siling, meningkatkan lantai dan memperkukuhkan tata kelola yang baik.

Bagi menaikkan siling, pembangunan ekonomi negara perlu beralih kepada pivot ketiga iaitu ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan meningkatkan kerencaman ekonomi.

Tumpuan akan diberikan kepada sektor dan inovasi bernilai tinggi berasaskan teknologi dan inovasi.

Peralihan ini akan memupuk budaya mencipta seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia pengeluar utama produk pengguna untuk dieksport ke seluruh dunia.

Keutamaan akan diberikan untuk melonjakan industri high growth high value merangkumi industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi terutama semikonduktor, peralihan tenaga serta teknologi digital.

Subsektor agromakanan dan agrokomoditi akan terus dilonjakan bagi memastikan keselamatan makanan.

Unsur nadir bumi, ekonomi hijau dan biru serta inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon akan menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Tumpuan juga diberikan kepada pelancongan, industri halal, ekonomi jingga, pengangkutan udara, perkhidmatan global dan kewangan, perdagangan, pengedaran, logistik serta industri sukan.

Strategi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030, Pelan Halal, Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Negara.

Usaha ini menyumbang kepada aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 dan antara 30 ekonomi terbesar dunia berpaksikan ekonomi MADANI.

Usaha merancakkan ekonomi akan dipertingkatkan dengan memperhebatkan transformasi struktur, melonjakkan pertumbuhan yang terangkum dan mampan, meningkatkan keseimbangan pembangunan antara wilayah serta memperluas integrasi ekonomi di peringkat global.

Kerajaan komited menyediakan pelaburan sebanyak 611 billion ringgit dalam tempoh RMK-13, merangkumi 430 billion ringgit peruntukan pembangunan kerajaan dan disokong pembiayaan syarikat berkaitan kerajaan serta kaedah perkongsian awam-swasta. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *