Raja Permaisuri Agong ziarah pusara, santuni keluarga polis pengiring Istana Negara

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menziarahi pusara Allahyarham Koperal Muhammad Faizal Abd Razak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuantan, Batang Kali, di Selangor hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyantuni balu Allahyarham, Noratiqah Mohamad Sayuti di kediaman keluarga Allahyarham di Desa Alam Ria, Batang Kali.

Seri Paduka Baginda juga menghadiri majlis bacaan tahlil dan doa khas untuk Allahyarham.

“Seri Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan kepada balu Allahyarham dan menzahirkan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham.

“Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor turut menghulurkan sumbangan tunai, barangan peralatan sekolah serta set kelengkapan bayi,” menurut hantaran itu.

Hadir sama isteri Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latif, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, serta pegawai-pegawai kanan Istana Negara.

Muhammad Faizal, 32, yang bertugas sebagai anggota Pengiring Bermotosikal Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Istana Negara pada 2 Sept lepas.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta tiga cahaya mata- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *