IPOH: Seorang pengarah syarikat telekomunikasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menjual walkie-talkie yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sim Zhi Hong, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama, Sim didakwa menjual tujuh unit walkie-talkie jenama Keruier Model KH-8800 yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat VS Play Gadget Store di Pusat Perniagaan Manjung Point 3, Seri Manjung pada Januari lepas.
Ketika itu, Sim merupakan pengarah syarikat berkenaan serta bertanggungjawab terhadap pengurusan harian syarikat.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, dibaca bersama Seksyen 244(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga 300,000 ringgit atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat VS Play Gadget Store yang diwakili Sim turut didakwa atas kesalahan sama yang dilakukan di lokasi sama, dengan hukuman yang serupa.
Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan sebanyak 10,000 ringgit bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam JK Kala yang mewakili Sim memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri, anak serta ibu yang berusia 80 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak 1,000 ringgit dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 November untuk sebutan semula kes. – Bernama