PAC panggil saksi tambahan siasat kawalan harga subsidi minyak masak

PASIR MAS: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa saksi tambahan untuk prosiding berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan jawatankuasa tidak menolak kemungkinan memanggil semula saksi terdahulu daripada agensi terlibat untuk perbincangan lanjut.

“Banyak perkara boleh dibuat syor dalam prosiding nanti dan kita juga dimaklumkan dengan kedudukan tanah persendirian,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau pangkalan haram minyak masak di Rantau Panjang.

Beliau menegaskan syor-syor yang telah diperhalusi akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas proses siap sepenuhnya.

Mas Ermieyati menjelaskan lawatan ke pangkalan haram di Kelantan bertujuan meninjau secara langsung aktiviti penguatkuasaan membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke Thailand.

“Apabila berada dalam bilik prosiding, kita tidak merasai situasi di sempadan tetapi turun ke lapangan menunjukkan sempadan sangat dekat,“ katanya.

PAC juga mengadakan tinjauan di tiga Loji Rawatan Air di Kelantan untuk memberi ruang kepada wakil rakyat meninjau keadaan sebenar di lapangan.

Tiga loji rawatan air yang dilawati ialah Merbau Chondong, Jelawat dan Kelar. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *