MCMC rakam keterangan tiga individu kes hantaran palsu perkauman

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga individu semalam berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak.

MCMC memaklumkan hantaran yang mendakwa tindakan itu dilakukan oleh seorang wanita berbangsa Cina adalah tidak benar dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Rakaman keterangan dilakukan di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah, Balai Polis Beserah, Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori telah disita bagi tujuan analisis forensik digital.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 500,000 ringgit atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *