Mahkamah arah guru dituduh kelar isteri jalani pemeriksaan mental

BALIK PULAU: Seorang guru lelaki yang didakwa mengelar isterinya dengan pisau bulan lepas diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membenarkan tertuduh Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, dirujuk ke hospital berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan dibacakan dan tertuduh hanya menjawab “tidak faham” apabila ditanya sama ada beliau memahami pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Nazmi Izzuddin didakwa melakukan cubaan bunuh menggunakan sebilah pisau terhadap isterinya Hanis Sofea Hamdan, 28.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara pada 5.45 pagi, 27 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani memohon mahkamah mengeluarkan arahan rasmi agar tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia bagi penilaian lanjut.

Permohonan itu dibuat selaras dengan saranan doktor di Hospital Pulau Pinang untuk penilaian kesihatan mental tertuduh.

Peguam bela Yazid Khairul Azman yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pendakwa raya tersebut.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan mental tertuduh. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *