PORT DICKSON: Dua beradik ditemui lemas manakala ibu bapa mereka terselamat selepas kereta yang diparkir tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam Sungai Tanjung Agas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Maslan Udin berkata pihaknya menerima laporan kecemasan mengenai kejadian membabitkan keluarga empat orang pada pukul 11.24 pagi.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga tersebut sedang berehat sambil memancing di kawasan berkenaan.
“Bapa mangsa berada di luar kereta ketika kejadian manakala mangsa di dalam kenderaan menjerit meminta tolong,“ katanya.
Orang ramai yang berada berdekatan berjaya menyelamatkan ibu mangsa tetapi kedua-dua anak lemas bersama kenderaan.
Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun berjaya dinaikkan pada pukul 1.24 tengah hari manakala adik lelakinya berusia enam tahun dinaikkan pada pukul 1.47 tengah hari.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Kedua-dua kanak-kanak ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruangan penumpang hadapan kereta.
Kereta jenis Nissan Teana itu dipercayai mengalami masalah teknikal menyebabkan ia terus menjunam ke sungai walaupun enjin sudah dimatikan.
Operasi mengangkat kenderaan yang tenggelam pada kedalaman empat meter dari dasar sungai telah dilakukan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 dengan bedah siasat dijadualkan di Hospital Port Dickson esok.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya melibatkan kereta terjatuh ke dalam sungai. – Bernama