KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau menggunakan pengaruh dan jawatannya bagi memastikan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, menerima wang RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Bung Moktar, 65, berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Fadly Mohd Zamry pada perbicaraan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan beliau dan Zizie Izette.
Mohamad Fadly menyoal sama ada beliau bersetuju bahawa jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra digunakan untuk memastikan pelaburan berkenaan berjaya sehingga membawa kepada penerimaan wang tersebut.
“Tidak benar, saya tidak setuju,” jawab Bung Moktar ringkas.
Menjawab soalan lanjut sama ada beliau berperanan aktif dalam melaksanakan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta di Public Mutual, Bung Moktar sekali lagi menafikan dakwaan itu.
Mohamad Fadly: Setuju saya katakan bahawa Datuk Seri ada pengetahuan bahawa habuan (wang RM2.8 juta) akan diperoleh jika perkara ini (pelaburan) berjaya.
Bung Moktar: “Tidak betul, Yang Arif. Itu sangkaan jahat.”
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu bersetuju dengan cadangan TPR Law Chin How bahawa beliau tidak pernah membuat laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra berhubung wang pengenalan RM2.8 juta yang diterima isterinya.
Katanya tiada keperluan berbuat demikian kerana kes itu sudah dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sambil menafikan ia bertujuan melindungi kepentingan dirinya serta isteri.
Namun, Bung Moktar tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa tindakannya dilakukan di luar skop tugas dan tanpa kebenaran bertulis ALP.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau turut didakwa menerima suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sama, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 24 Sept ini- BERNAMA