KUALA LUMPUR: Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri memberikan impak besar dalam meringankan perbelanjaan rakyat dan merancakkan ekonomi domestik.
Bantuan yang diagihkan kepada warganegara dewasa berusia 18 tahun sejak Hari Kebangsaan lepas telah mendapat sambutan hangat di media sosial.
Kebanyakan penerima menganggap bantuan ini sebagai ‘rezeki berganda’ khususnya untuk golongan B40 yang menghadapi cabaran kos sara hidup.
Nabila Mohd Azmai, 36, dari Damansara menyatakan bantuan itu sangat membantu untuk membeli beras, telur dan barangan kering bagi keperluan bulanan.
“Biarpun barang basah tidak termasuk dalam SARA, namun dapat beli beras dan telur pun sudah cukup, itu yang penting,“ katanya.
Zamri Ahmad, 55, melihat pemberian SARA sebagai peluang untuk rakyat pelbagai peringkat pendapatan mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Beliau juga menyatakan ini membantu peniaga kecil menghabiskan stok jualan mereka.
Di Pahang, ibu tunggal Norlia Abdullah, 48, berkongsi pengalaman hanya perlu membayar RM1.85 untuk barangan dapur bernilai lebih RM200 selepas ditampung bantuan SARA dan MyKasih.
Operator kilang itu dapat menampung perbelanjaan keluarganya untuk tempoh sebulan lebih dengan bantuan tersebut.
Zakiah Che Mat Mokhtar, 50, mengharapkan bantuan SARA dapat diperluas untuk pembelian barangan basah seperti ayam dan sayur.
“Barang-barang yang ada tag SARA, sudah okey tetapi kalau ada barang basah, lagi okey sebab harganya turut sedikit meningkat,“ ujarnya.
Di Selangor, Aifa Natasha Azmi, 28, ibu kepada dua anak kecil berkata bantuan SARA yang digabungkan dengan suaminya membolehkan mereka hanya membayar RM1.25 untuk 27 barangan asas.
Pekerja swasta itu dapat menggunakan wang yang dijimatkan untuk tujuan lain berkat bantuan ini.
Nor Zamira Che Noh, 32, bercadang menggunakan wang bantuan untuk membeli makanan kering sebagai simpanan keluarga di kampung menghadapi musim banjir.
Di Terengganu, ibu tunggal dan peniaga kedai makan Norharizan Hassan, 47, merancang menyimpan bantuan tersebut untuk kegunaan waktu kecemasan seperti musim banjir.
Beliau menyatakan kesyukuran atas bantuan ini memandangkan pendapatannya hanya cukup-cukup untuk bayar hutang rumah dan kereta.
Di Kelantan, keluarga Ab Manaf Mat Shah, 68, menerima jumlah keseluruhan RM2,100 daripada sembilan anak dan lapan menantu yang layak menerima bantuan.
Peniaga itu melihat bantuan SARA sebagai peluang memupuk amalan berbelanja secara berhemah dan bijak.
Bantuan SARA disalurkan melalui MyKad mulai 31 Ogus kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.
Bantuan ini diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori pendapatan dan boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih. – Bernama