500 lagi belia India dapat peluang program TVET MCYTT-MITRA ke China

KUALA LUMPUR: Seramai 500 lagi belia India berpeluang menyertai Program Latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Belia Malaysia-China (MCYTT) hasil kerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan belia berkenaan juga berpeluang memperoleh biasiswa penuh untuk menjalani latihan TVET di dua universiti di China.

“Daripada 5,125 tempat yang diberikan oleh China, 500 telah diperuntukkan khusus untuk belia India di bawah MITRA namun atas permohonan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran saya meluluskan tambahan 500 tempat tahun ini.”

“Selain itu belia India juga diberi peluang memperoleh biasiswa penuh dari Taizhou Vocational College of Science & Technology yang menawarkan 25 kuota dalam bidang teknologi logistik manakala Tangshan Polytechnic University menawarkan 20 kuota dalam bidang Electrical Automation Technology.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Pelepasan Peserta MCYTT-MITRA di International Youth Centre (IYC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan biasiswa penuh ditawarkan dengan syarat pelajar mesti menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) atau Ujian Bahasa Mandarin sekurang-kurangnya Tahap 3.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara menegaskan TVET merupakan agenda nasional yang tidak membezakan latar belakang atau pencapaian akademik pelatih demi melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara.

“Pendekatan inklusif TVET ini membuktikan bahawa walaupun seseorang belia mungkin tidak cemerlang dalam sistem akademik konvensional mereka tetap boleh berjaya melalui laluan kemahiran dengan tawaran gaji lebih tinggi melebihi pekerja kolar putih.”

“Kita tidak membezakan latar belakang pelatih dan ini menjadi keutamaan kerana walaupun tanpa SPM ekosistem pendidikan TVET mampu menyediakan peluang kerjaya dengan gaji premium.”

Menurut Ahmad Zahid sistem pendidikan TVET kini dirangka dengan pendekatan metodologi dan pedagogi baharu sejajar dengan keperluan industri dan pelabur asing yang amat menitikberatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata sebanyak 12 kementerian kini terlibat dalam pelaksanaan program TVET dan telah diselaraskan di bawah satu jawatankuasa Kabinet bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan pengisian program latihan.

Malah negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor sebagai persiapan menghadapi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) sekali gus memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.

“Pelabur asing memerlukan pekerja mahir daripada semua kaum dan dalam pelbagai bidang kerana mereka adalah penyumbang utama pembangunan industri dan ekonomi negara.”

“Oleh itu kita mahu semua pihak bekerjasama termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan melalui kaedah akademik dan laluan TVET.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *