Trump mohon Mahkamah Agung buat keputusan segera berhubung tarif

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan akan memohon Mahkamah Agung membuat keputusan segera untuk membatalkan keputusan mahkamah rayuan yang menyatakan sebahagian besar tarif kontroversinya tidak sah.

Beliau memberi amaran Amerika Syarikat boleh menjadi negara dunia ketiga jika tarif dimansuhkan.

Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih bahawa struktur kewangan negara sedang dipertaruhkan dalam kes ini.

Beliau menyatakan permohonan akan dibuat esok kerana mereka memerlukan keputusan awal.

Presiden itu berkata Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Jepun, Kesatuan Eropah dan Korea Selatan.

Trump mendakwa negara-negara tersebut membayar 950 billion dolar AS kepada Washington dan berpuas hati dengan perjanjian itu.

Pengkritik menyifatkan perjanjian itu lebih berupa kerangka berbanding perjanjian penuh.

Mereka juga menegaskan Trump telah salah menggambarkan sejauh mana Amerika Syarikat akan mendapat manfaat daripadanya.

Trump menegaskan pengkritik langsung tidak mempunyai asas undang-undang untuk mencabar tarif yang dilaksanakan melalui perintah eksekutif.

Beliau turut menyatakan keputusan mahkamah rayuan pada Jumaat lalu menjadi punca kejatuhan pasaran saham Amerika Syarikat pada Selasa.

Trump mendakwa pasaran memerlukan tarif dan mahu tarif dikekalkan.

Ramai penganalisis menyifatkan ketidakpastian mengenai tarif sebagai punca utama kejatuhan pasaran.

Mahkamah Rayuan mendapati Trump tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sebahagian besar tarif itu pada keputusan Jumaat lalu.

Kuasa teras Kongres untuk mengenakan cukai seperti tarif diperuntukkan secara eksklusif kepada badan perundangan oleh Perlembagaan.

Mahkamah rayuan menangguhkan pelaksanaan keputusannya sehingga 14 Oktober untuk memberi masa kepada pentadbiran Trump memfailkan rayuan. – Bernama-Anadolu

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *