Tiada jenayah salah guna kuasa dikesan dalam projek MyKiosk – KPKT

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan dalam pelaksanaan Program MyKiosk berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Timbalan Menteri Datuk Aiman Athirah Sabu berkata siasatan SPRM dilakukan susulan aduan yang diterima sebelum ini dengan KPKT menyerahkan semua dokumen berkaitan pada 22 Mei lepas sebagai tanda ketelusan.

“Hasil siasatan SPRM yang diumumkan pada 3 Julai mendapati tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan sebaliknya hanya mencadangkan beberapa penambahbaikan dari aspek tadbir urus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu hasil siasatan SPRM terhadap tatakelola pengurusan inisiatif MyKiosk.

Pada tahun 2023 sebanyak 50 juta ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan MyKiosk 1.0 melibatkan 3,189 unit kios dengan kos 48.18 juta ringgit.

Bagi tahun 2024 pula 100 juta ringgit diperuntukkan untuk MyKiosk 2.0 melibatkan pembinaan 4,054 unit kios bernilai 98.75 juta ringgit.

Kadar pengisian unit untuk MyKiosk 1.0 mencapai 94.39% manakala MyKiosk 2.0 berada pada tahap 89.07% setakat ini.

Baki unit yang belum diisi disebabkan faktor seperti kesesuaian lokasi kekurangan infrastruktur asas dan keadaan tapak yang belum siap dikenal pasti sebagai punca utama.

Satu pasukan petugas dalaman telah ditubuhkan bagi meneliti lokasi dan mempercepat pengisian selain lawatan pemantauan bersepadu dan sesi libat urus bersama.

KPKT turut memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan kaedah Traffic Light bermula pada 2025 untuk menilai prestasi pihak berkuasa tempatan.

Kos siling bagi satu unit MyKiosk 1.0 ialah 15,000 ringgit manakala bagi MyKiosk 2.0 pula berjumlah 25,000 ringgit seunit dengan penambahan spesifikasi baharu.

KPKT juga membenarkan pihak berkuasa tempatan membuat penempatan semula kios ke lokasi yang lebih strategik di kawasan tumpuan awam sekiranya perlu.

Model terkini MyKiosk dilengkapi dengan panel solar 100 watt berbanding 50 watt sebelum ini dinding powdercoated kipas sistem kalis air tahan cuaca serta pertambahan sudut keluasan.

Kos pertambahan model terkini sejajar dengan peningkatan spesifikasi yang dilaksanakan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *