MELAKA: Setiausaha persatuan staf akademik di sebuah universiti awam direman lima hari bagi membantu siasatan dakwaan menyalahgunakan kedudukan untuk menggunakan wang persatuan berjumlah RM84,500 tahun lepas.
Majistret Uthman Abd Ghani mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 7 September selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Lelaki berusia 47 tahun itu disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan duit persatuan untuk membayar kos guaman dan kos perintah mahkamah bagi pihak isterinya pada tahun lepas.
Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka pada 5.10 petang semalam.
Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Bernama