Polis Johor gempur lapan pusat hiburan warga asing, 83 ditahan

JOHOR BAHRU: Polis Johor menggempur lapan pusat hiburan di beberapa daerah yang dipercayai dikendalikan warga asing dengan menahan 83 individu pada 30 dan 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kesemua warga Myanmar terdiri daripada 47 lelaki dan 36 wanita berumur 22 hingga 47 tahun itu diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Johor menerusi Op Noda.

Beliau berkata sembilan yang ditahan merupakan penjaga premis, 29 pelayan, seorang tukang masak dan 44 pelanggan yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Lapan pusat hiburan masing-masing di kawasan Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Seri Alam ini didapati tidak mempunyai lesen perniagaan dan hiburan serta menggajikan pekerja asing tanpa permit.

Operasi berkenaan bertujuan membanteras pusat hiburan didalangi warga asing dan berisiko menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat setempat, gejala sosial, ancaman keselamatan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pelbagai barangan turut dirampas dalam serbuan itu termasuk buku akaun perniagaan, resit jualan, telefon bimbit dan tablet pelbagai jenama serta wang tunai RM5,088.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98, Seksyen 3 (1) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Johor Bahru) 2016, Seksyen 107 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Per. 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Pihak polis akan terus mempergiat operasi seumpama itu sekali gus memberikan jaminan tidak berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram di negara ini.

Orang ramai turut diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada polis Johor menerusi talian hotline 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *