SHAH ALAM: Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam serangan terhadap saksi utama perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menyatakan siasatan kes serangan tersebut masih diteruskan dengan beberapa keterangan telah direkodkan daripada pelbagai pihak.
Beliau menjelaskan kes siasatan itu masih aktif dan polis merakam keterangan ramai saksi bagi menentukan tujuan atau modus operandi kejadian berkenaan.
Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor masih meneruskan operasi mencari suspek.
Pada 11 Ogos lepas, Shazeli dilaporkan berkata kes pecah rumah yang membabitkan saksi utama kes rasuah Lim adalah kes jenayah.
Media sebelum ini melaporkan mangsa cedera di muka dan tangan selepas diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya.
Lim yang juga Penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang. – Bernama