Penyelesaian tambahan JENDELA Fasa 2 diumum suku keempat 2025

KUALA LUMPUR: Penyelesaian tambahan untuk memperluas capaian internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 dijadualkan diumumkan pada suku keempat tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyatakan pelaksanaan fasa baharu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau menjelaskan faktor geografi mencabar, kekangan bekalan kuasa grid serta ketiadaan jalan akses memerlukan penggunaan teknologi bersesuaian termasuk panel solar dan sambungan satelit.

“Pendekatan ini memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk membiayai perbelanjaan modal dan operasi projek ini,“ katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 Kementerian Komunikasi di Dewan Negara.

Bagi mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada, MCMC akan melaksanakan peningkatan daripada empat hala kepada enam hala rangkaian teras pelbagai operator.

MCMC juga mengkaji kesesuaian menara di bawah pelaksanaan JENDELA Fasa 1 untuk disertakan dalam rangkaian 5G di Sabah dan Sarawak.

Perbincangan menyeluruh telah diadakan bersama jabatan berkaitan termasuk Pejabat MCMC Wilayah Sabah dan Sarawak serta penyedia rangkaian 5G.

MCMC melaksanakan audit berkala bagi memastikan pematuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan dalam usaha meningkatkan kualiti liputan internet.

Dari 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 2,781 ujian kualiti dijalankan di seluruh negara dengan 1,684 ketidakpatuhan dikesan melibatkan 815 lokasi.

Sebanyak 462 ketidakpatuhan berjaya diperbaiki manakala 1,222 lagi masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya.

Pada tahun lalu, MCMC mengeluarkan 268 Arahan Suruhanjaya melibatkan 219 lokasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kerajaan turut menyediakan infrastruktur jalur lebar melalui Point of Presence dengan kelajuan sehingga 1Gbps.

Setakat 31 Ogos lepas, sebanyak 1,560 PoP daripada 3,693 tapak Fasa 2 telah siap termasuk di Sabah (485 PoP) dan Sarawak (406 PoP).

Inisiatif Perkhidmatan Pintar melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional mencatatkan lebih 710,000 penyertaan antara September 2024 hingga Julai 2025.

Projek SMART 600 di Sarawak menyaksikan 431 menara siap dibina dan 169 lagi masih dalam pelaksanaan.

Komunikasi telah diiktiraf sebagai utiliti awam sejak 2021 melalui Garis Panduan Perancangan Komunikasi MCMC. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *