Malaysia sedia jadi rakan kongsi utama China dengan sokongan NIMP 2030

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menjadi rakan kongsi utama China dengan sokongan pelbagai inisiatif termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikannya pintu masuk terbaik ke pasaran ASEAN.

Beliau menekankan dasar yang jelas dan stabil Malaysia sebagai kelebihan utama untuk menarik pelaburan dari China.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri menyeru syarikat-syarikat China untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN,“ katanya menerusi hantaran di platform X.

Tengku Zafrul menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama ini akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Pada hari Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia sedang meneroka pasaran baharu untuk industri semikonduktor.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan hasrat Malaysia untuk belajar dan meneroka potensi kerjasama dengan rakan setara di China.

Perdana Menteri kini berada dalam lawatan kerja empat hari di China, merupakan lawatan keempat beliau ke negara itu sejak memegang jawatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *