KKM terima 91 unit ambulans Type B secara berperingkat seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menerima 91 unit ambulans Type B melalui kaedah perolehan luar kontrak selepas kelulusan khas Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni menyatakan ambulans ini akan diagihkan secara berperingkat ke fasiliti kesihatan seluruh negara bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan.

Berdasarkan rekod semasa, sebanyak 1,773 atau 89.8% daripada 1,975 ambulans KKM telah berusia lebih enam tahun dan memerlukan penggantian.

Proses perolehan 925 unit ambulans Type B baharu telah dimulakan pada 31 Julai 2025 untuk menggantikan kenderaan yang sudah tidak ekonomi untuk dibaiki.

Perolehan akan dilaksanakan mengikut enam zon iaitu Sabah/Labuan, Sarawak, Tengah, Selatan, Utara dan Timur bagi memastikan bekalan mengikut jadual.

KKM telah menetapkan kaedah perolehan lebih terbuka dengan membenarkan pembekal mengemukakan cadangan sama ada CKD atau CBU.

Semua cadangan akan dinilai berdasarkan tawaran yang dikemukakan dan keupayaan pembekal memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

Langkah ini diharap dapat mengelak kelewatan pembekalan seperti sebelum ini dan memastikan ambulans sampai tepat pada masanya.

Bagi kawasan pedalaman, KKM telah membekalkan 46 unit ambulans pacuan empat roda dan akan menambah bekalan dalam perolehan 925 unit nanti.

Negeri seperti Sabah, Sarawak, Perak, Kelantan dan Johor akan diutamakan untuk ambulans pacuan empat roda bagi memudahkan pemindahan pesakit. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *