KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli antara cadangan yang diteliti dalam Mesyuarat Mengenai Usaha-Usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat turut meneliti aspek memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan dan perlindungan kanak-kanak.
Keutamaan pendekatan pemulihan terhadap pelaku yang masih berstatus kanak-kanak atau remaja turut diteliti selaras dengan prinsip Akta Kanak-Kanak 2001.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli.
Turut dibincangkan penggunaan pendekatan whole-of-government untuk memastikan usaha pencegahan buli dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai peringkat.
Isu buli semakin menjadi cabaran nasional yang memberi kesan mendalam kepada mangsa dan masyarakat secara keseluruhan.
Mesyuarat ini merupakan langkah permulaan penting dalam merangka pelan tindakan konkrit dan praktikal bagi mekanisme pencegahan buli yang mantap.
BHEUU menyatakan komitmen untuk memastikan setiap cadangan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang realistik, inklusif dan berpandangan jauh.
Dengan kerjasama erat seluruh kementerian, agensi serta pihak berkepentingan, persekitaran yang lebih selamat dan bebas buli dapat diwujudkan.
Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan termasuk kementerian pendidikan dan kesihatan. – Bernama