Kerajaan pertingkat pemantauan stok barangan untuk Penghargaan SARA

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan stok barangan keperluan asas mencukupi untuk penebusan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah memaklumkan bahawa stok barangan di pasaran setakat ini adalah mencukupi.

“Pihak KPDN tidak memaklumkan sebarang masalah berkaitan bekalan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Penghargaan SARA sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad telah mula disalurkan sejak 31 Ogos lalu.

Bantuan itu boleh ditebus di lebih 7,000 premis sehingga 31 Disember 2025 dan memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta penduduk.

Peruntukan berjumlah RM2 billion telah diperuntukkan untuk program ini dengan RM192.4 juta telah ditebus sehingga tengah malam tadi.

Fahmi menegaskan kaedah penebusan kredit menggunakan MyKad bertujuan memastikan bantuan dimanfaatkan khusus untuk pembelian barangan keperluan asas sahaja.

“RM100 ini dimaksudkan untuk membantu isi rumah membeli barangan keperluan asas,” katanya.

Beliau menasihatkan rakyat supaya tidak terburu-buru membelanjakan bantuan memandangkan tempoh penebusan masih panjang sehingga 31 Disember.

“Kita boleh atur masa tertentu yang kurang sesak dan pergi ke premis-premis berdekatan,” ujarnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *