Imigresen tahan 770 pendatang tanpa izin dalam Op Belanja di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Seramai 770 pendatang tanpa izin telah ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Bukit Bintang malam tadi.

Operasi yang dikenali sebagai Op Belanja itu dijalankan dari jam 7.30 malam hingga 10.30 malam susulan aduan orang awam sejak tiga minggu lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Basri Othman berkata serbuan itu mengejutkan ramai warga asing yang cuba melarikan diri dengan memanjat bangunan dan bersembunyi.

“Penguat kuasa turut menemukan sebuah premis perjudian dalam talian dilengkapi sistem pemantauan kamera litar tertutup dan ketika pintu dipecahkan, terdapat tujuh warga asing leka berjudi,” katanya.

Seramai 106 pegawai penguat kuasa telah memeriksa 2,445 individu yang terdiri daripada 1,600 warga asing dan 845 warga tempatan dalam operasi tersebut.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 377 lelaki Bangladesh, 235 lelaki Myanmar, 72 lelaki Nepal, 58 lelaki India, serta 17 lelaki dan dua wanita Indonesia.

Tiga lelaki dan enam wanita dari negara lain juga antara yang ditahan dalam operasi yang disasarkan terhadap aktiviti sosial warga asing itu.

Semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 65 tahun telah dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk saringan awal.

Mereka kemudiannya akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan Lenggeng, Negeri Sembilan bagi siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan sah, serta melanggar Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Siasatan juga dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Basri mengingatkan orang ramai serta majikan agar tidak melindungi pendatang tanpa izin dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen untuk membantu operasi penguatkuasaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *