PUTRAJAYA: Visi transformasi Lembaga Tabung Haji daripada institusi simpanan patuh syariah kepada institusi pelaburan Islam akan dirujuk terlebih dahulu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan meminta pihak pengurusan TH memberikan taklimat sebelum berjumpa Anwar.
“Saya sudah tentu akan mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri, pada asasnya kita akan dapatkan nasihat dan pandangan.”
“Saya sendiri secara peribadi sebagai menteri akan sampaikan apa yang dimaksudkan ini kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri sudah tentu prihatin tentang TH.”
Beliau menegaskan bahawa apa jua keputusan akan dirujuk kepada Anwar terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
Mohd Na’im berkata visi transformasi itu bertujuan menjadikan TH sebagai sebuah institusi pelaburan Islam yang lebih dinamik.
Transformasi ini juga akan memperkukuh peranan TH dalam menjaga kepentingan pendeposit serta pembangunan ekonomi ummah.
Media hari ini melaporkan Pengerusi Kumpulan TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata visi transformasi itu dijangka mengubah model perniagaan TH secara asas.
Perubahan ini akan membolehkan TH menawarkan produk kewangan yang lebih canggih dan berorientasikan pelaburan.
Mohd Na’im berkata cadangan itu adalah hasrat Abdul Rashid yang memahami dengan jelas hala tuju institusi berkenaan.
Beliau berkata dari segi pengurusan jemaah haji, TH telah membuktikan kecemerlangan apabila empat tahun berturut-turut menerima anugerah Labbaitum daripada Kerajaan Arab Saudi.
Namun dari sudut pelaburan dan simpanan, asas serta dasar awal penubuhan TH perlu diperkukuhkan bagi memastikan institusi itu terus kukuh.
Mohd Na’im menegaskan setiap tindakan yang diambil pihak pengurusan serta Ahli Lembaga Pengarah TH mestilah menjamin kepentingan pendeposit.
Beliau menekankan bahawa kelangsungan institusi berkenaan mesti sejajar dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Ini adalah asas dan dasar yang mesti dan wajib dipatuhi oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH serta seluruh Ahli Lembaga Pengarah TH.” – Bernama