GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan lima anggota polis termasuk seorang pegawai kanan disyaki meminta dan menerima rasuah hampir 9,000 ringgit.
Kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan antara jam 2 hingga 5 petang di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada Jumaat lepas dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Seberang Perai.
Seorang daripada suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang juga pemilik bengkel motosikal yang terlibat dalam operasi itu.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan 24 jam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM. – Bernama