Rakyat Malaysia di Indonesia dinasihat berwaspada susulan rusuhan

JAKARTA: Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Indonesia dinasihatkan untuk terus memantau perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan berikutan rusuhan di Jakarta serta beberapa bandar utama sejak 28 Ogos lalu.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menyatakan tiada rakyat Malaysia termasuk pelajar yang terjejas akibat insiden tersebut setakat ini.

Beliau menjelaskan pihak berkuasa tempatan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal keadaan serta menjamin keselamatan orang ramai.

“Masyarakat dinasihatkan mengelak kawasan yang terlibat dengan rusuhan, sama ada di Jakarta mahupun di bandar-bandar lain di seluruh Indonesia,“ katanya dalam temu bual bersama media Malaysia pada Selasa.

Bagi para pelajar Malaysia, Syed Mohamad Hasrin berkata pihak Education Malaysia di Indonesia sentiasa berhubung dengan mereka bagi memantau keadaan dan menyalurkan nasihat sewajarnya.

“Mereka juga berada dalam keadaan selamat,“ katanya.

Menurut beliau, rakyat Malaysia yang merancang berkunjung ke Indonesia perlu membuat persiapan rapi termasuk merancang perjalanan dengan teliti, memastikan kewangan mencukupi, mendapatkan insurans perjalanan, serta mengikuti perkembangan terkini mengenai lokasi yang ingin dikunjungi.

Syed Mohamad Hasrin turut menasihatkan rakyat Malaysia agar melaporkan keberadaan mereka kepada pihak kedutaan bagi memudahkan sebarang tindakan jika diperlukan.

“Kedutaan sentiasa bersedia menjawab panggilan telefon, pertanyaan melalui e-mel dan WhatsApp bagi memberikan panduan sewajarnya,“ katanya.

Beliau menambah bahawa kenyataan media rasmi akan dikeluarkan sekiranya diperlukan pada masa akan datang.

Pada 29 Ogos, Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan siri demonstrasi yang bermula di kawasan Senayan, Jakarta Pusat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *