Pengarah pasar mini didenda RM5,000 jual minyak masak botol lebih harga

IPOH: Seorang pengarah syarikat pasar mini didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjual minyak masak botol melebihi harga yang ditetapkan tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas J. Shanker berumur 43 tahun dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima hari sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah juga memerintahkan wang bernilai RM485.85 iaitu hasil jualan berkaitan dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Shanker sebagai pengarah syarikat Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd didapati menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal iaitu minyak masak botol dua kilogram jenama Seri Murni selain mengikut harga yang ditentukan oleh pengawal di bawah Seksyen 4, 5 atau 7 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kesalahan itu dilakukan di Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd, No. 1 dan 3 Jalan Klebang Ria 3, Taman Klebang Ria, Chemor pada 12.30 tengah hari, 17 April 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(b) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) N. Shamani memohon hukuman setimpal.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Halim yang mewakili tertuduh memohon denda RM5,000 atas alasan terdapat kesilapan penetapan harga pada hari itu sebanyak RM13.90 dan hanya satu minyak botol yang terjual.

Beliau menambah bahawa 46 minyak botol yang dirampas adalah stok barangan berkenaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *