BEIJING: Perdana Menteri India Narendra Modi menggesa penamatan perang di Ukraine ketika bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di China.
Menurut Kementerian Luar India, Modi “mengulangi sokongannya terhadap inisiatif terbaharu yang telah diambil bagi menangani konflik di Ukraine” selepas kedua-dua pemimpin itu bertemu di Bandar Tianjin.
Beliau juga “menekankan keperluan mempercepatkan penghentian konflik dan mencari penyelesaian damai yang berkekalan” menurut kementerian itu.
New Delhi secara umumnya berusaha mengekalkan sikap berkecuali dalam konflik antara Ukraine dan Rusia yang bermula dengan serangan besar-besaran Rusia pada Februari 2022.
Walaupun India menyokong usaha damai serta memberi amaran kepada Moscow agar tidak menggunakan senjata nuklear, negara itu kini menjadi pelanggan kedua terbesar minyak Rusia selepas negara-negara Eropah menghentikan import mereka sebagai tindak balas terhadap perang itu.
Dalam usaha menekan Rusia supaya menamatkan konflik, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini mengenakan tarif 50 peratus ke atas import dari India berhubung perdagangan negara itu dengan Moscow.
Namun langkah itu masih belum menjejaskan hubungan kedua-dua kuasa nuklear itu dengan Modi menulis di platform X bahawa beliau mengadakan “pertemuan yang sangat baik” dengan Putin di Tianjin.
Menurut media Rusia, kedua-dua pemimpin itu berbual hampir 50 minit dalam limusin presiden Putin dalam perjalanan menuju ke mesyuarat dua hala rasmi.
Perbincangan itu bertumpu kepada “cara memperdalam kerjasama dua hala dalam semua sektor, termasuk perdagangan, baja, angkasa lepas, keselamatan dan budaya” kata Modi di platform X. – Bernama-dpa