KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia mengaktifkan Pasukan Penilaian Pantas bagi membantu mangsa gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda timur Afghanistan pada Ahad lepas.
Organisasi kemanusiaan itu menyelaras tindak balas menerusi fasiliti kesihatan yang dikendalikannya di negara tersebut termasuk Pusat Kesihatan Komuniti Hisar Shahi di Nangarhar dan Hospital Bersalin Malalai di Kabul.
Persediaan dilakukan untuk penempatan pasukan perubatan kecemasan bagi menyediakan penjagaan rawatan trauma, kit perubatan asas dan sokongan psikososial.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus menekankan kepentingan untuk bersama-sama memastikan tindak balas segera dan daya tahan jangka panjang diterima mangsa bencana tersebut.
“Bencana melanda komuniti yang sudah terdedah. Selain keperluan perubatan dan kemanusiaan yang mendesak, gempa bumi ini mengingatkan kita bahawa kesiapsiagaan dan daya tahan bukan pilihan, tetapi keperluan.”
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menyalurkan bantuan hari ini sambil melabur dalam sistem yang mampu melindungi nyawa dan mata pencarian pada masa hadapan.
Dr Ahmad Faizal berkata organisasi itu komited memberi tindak balas kecemasan dan menyokong pemulihan serta daya tahan menerusi pendekatan Humanitarian Development Nexus dengan kerjasama komuniti tempatan.
MERCY Malaysia menyeru orang awam, pihak swasta dan rakan kongsi antarabangsa untuk menyokong usaha bantuan tersebut.
Sokongan diperlukan bagi membolehkan penghantaran bantuan termasuk kit perubatan kecemasan, tempat tinggal, makanan, air bersih, sokongan kesihatan mental dan psikososial serta inisiatif pengurangan risiko bencana.
Setakat ini, lebih 800 orang maut manakala 2,000 cedera dalam bencana tersebut yang menyebabkan kerosakan teruk di wilayah Nangarhar, Kunar dan Laghman.
Gempa bumi itu turut mencetuskan tanah runtuh yang memutuskan hubungan dan menyukarkan usaha menyelamat. – Bernama