Melaka meterai lima MoU bernilai RM1 bilion sempena Ekspo Dunia Osaka

MELAKA: Sebanyak lima perjanjian persefahaman bernilai RM1 bilion telah dimeterai antara agensi dan syarikat Melaka dengan pihak Jepun dalam pelbagai sektor sempena Ekspo Dunia Osaka 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan dua MoU melibatkan Perbadanan Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Jabatan Mufti Negeri Melaka, dan Universiti Kansai Jepun bagi kajian bencana alam dan kesan ribut petir di pantai Selat Melaka.

Satu MoU berkaitan pertanian ditandatangani untuk membekalkan buah-buahan Melaka seperti durian, nangka, nanas dan tembikai ke pasaran Jepun.

Jus buah Melaka berjenama Melberic juga bakal menembusi pasaran Jepun melalui perjanjian tersebut.

MoU terakhir membabitkan minyak biofuel antara syarikat Melaka dan Jepun untuk kerjasama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Kesemua perjanjian dianggarkan bernilai RM1 bilion dan dijangka mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pilihan pelabur global.

Ab Rauf telah melancarkan Minggu Melaka sempena Ekspo Dunia Osaka 2025 di Pavillion Malaysia sebelum perjanjian dimeterai.

Kerajaan negeri turut membawa lapan usahawan kecil dan sederhana Melaka yang berdaya saing untuk mempromosikan produk mereka di ekspo berkenaan.

Ekspo Dunia Osaka 2025 berlangsung selama dua minggu bermula semalam dengan penyertaan dari seluruh dunia.

Beliau berharap produk Melaka dapat diperkenalkan kepada dunia dan berkembang menjadi produk kebanggaan global. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *