LANGKAWI: Malaysia mengulangi komitmen terhadap Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu ASEAN 2023-2030 sebagai panduan utama dalam memperkukuh usaha serantau ke arah ASEAN bebas jerebu rentas sempadan menjelang 2030.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan komitmen berkenaan ditekankan dalam Mesyuarat Jawatankuasa ke-20 di bawah Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Malaysia melalui NRES bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 hari ini.
Pelaksanaan pelan hala tuju ini penting untuk memastikan tindakan negara anggota lebih terarah, terkoordinasi dan menghasilkan impak yang nyata di lapangan.
Strategi utama yang dibincangkan termasuk pencegahan menyeluruh melalui penguatkuasaan undang-undang berkaitan pembakaran terbuka.
Pemantauan berterusan di kawasan berisiko kebakaran hutan serta tanah gambut dan pelaksanaan amalan guna tanah secara mampan turut diperkukuh.
Sistem amaran awal ditambah baik dengan penggunaan teknologi satelit, pemodelan dan ramalan cuaca untuk mengenal pasti risiko awal.
Koordinasi serantau diperkukuh melalui penganjuran mesyuarat teknikal, latihan bersama secara berkala dan penyelarasan dasar rentas sempadan.
Mesyuarat turut merangkumi topik penting termasuk status Bajet Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan ASEAN.
Pelan Hala Tuju ASEAN Bebas Jerebu Kedua dan penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu turut dibincangkan.
Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu juga menjadi agenda perbincangan.
Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk membuat persediaan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18.
Pegawai kanan dari seluruh ASEAN membincangkan dokumen hasil utama untuk pertimbangan dan kelulusan AMME-18 kelak.
Perbincangan berfokus kepada draf Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim ke Sesi ke-30 Persidangan Pihak-Pihak di bawah UNFCCC.
Mesyuarat juga menilai pencalonan Taman Warisan ASEAN yang baharu serta meneliti sorotan Laporan Lembaga Pengelola Pusat Kepelbagaian Biologi ASEAN.
NRES memaklumkan mesyuarat memberi peluang kepada negara anggota ASEAN mengulangi komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama serantau.
Hasil perbincangan ini akan menyumbang kepada pengukuhan usaha kolektif ASEAN ke arah rantau yang mampan, berdaya tahan dan bebas jerebu.
AMME-18 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi selama tiga hari bermula hari ini.
Mesyuarat menghimpunkan menteri-menteri alam sekitar ASEAN dan pegawai kanan untuk membincangkan kerjasama serantau mengenai kelestarian dan pengurusan alam sekitar inklusif. – Bernama