Kementerian Kewangan jamin penambahbaikan sistem SARA hadapi lonjakan

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan memberi jaminan penambahbaikan harian akan terus dilakukan bagi memastikan sistem pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mampu menampung peningkatan jumlah pengguna terutama pada cuti hujung minggu panjang dan menjelang sambutan Hari Malaysia.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata MyKasih telah melaksanakan langkah menambah baik kapasiti sistem serta proses mengesan kerosakan setiap hari untuk mengatasi isu teknikal yang timbul.

Beliau menyatakan setiap hari MyKasih meningkatkan prestasi sistem dan menyelesaikan masalah yang berbangkit bagi memastikan ia dapat menampung peningkatan bilangan penerima yang membuat pembelian di pasar raya.

Johan berkata apabila sistem MyKasih mula dipasang, kapasiti asas ditetapkan pada 5,000 transaksi seminit dan kini telah ditingkatkan hingga 15,000 transaksi seminit yang diyakini dapat menampung lonjakan pembelian.

Beliau menegaskan setiap hari mereka menyusun semula sistem dan meningkatkan kapasiti bagi memastikan jumlah transaksi yang tinggi dapat diuruskan.

Johan menjelaskan sistem tidak tergendala dan sentiasa berfungsi walaupun kadangkala berlaku peningkatan mendadak yang menyebabkan keupayaan pemprosesan menurun.

Beliau berkata sebahagian transaksi mengambil masa lebih lama atau gagal disempurnakan apabila berlaku lonjakan permintaan yang mendadak.

Pada hari pertama SARA bermula iaitu 31 Ogos lepas, sebanyak 895,000 transaksi berjaya diproses manakala pada hari kedua jumlah itu meningkat kepada 950,000 transaksi.

Johan menyatakan angka ini membuktikan sistem masih kukuh walaupun terdapat gangguan di beberapa terminal dan kedai.

Kementerian Kewangan akan terus menambah baik keadaan serta kekal terbuka kepada pelbagai pilihan bagi memastikan sistem benar-benar stabil dan siap siaga terhadap permintaan memuncak pada minggu-minggu akan datang.

Beberapa pasar raya turut mencadangkan langkah tambahan antaranya mengehadkan bilangan terminal aktif bagi mengurangkan jumlah transaksi serentak yang masuk ke sistem ketika lonjakan mendadak berlaku.

Johan mengulangi penerima SARA berdepan masalah barisan panjang dan kegagalan transaksi disebabkan olah kapasiti sistem MyKasih yang tidak dapat menampung lonjakan permintaan mendadak dua hari lepas.

Beliau menegaskan tiada isu pengimbasan MyKad atau terminal dan scanner atau di peringkat pasar raya atau kedai memandangkan semua petugas terlatih menggunakan sistem.

Johan juga menyatakan tiada isu dengan hubungan telekomunikasi atau capaian telco kerana masalah sebenar berada di peringkat sistem dan server MyKasih dari segi kapasiti transaksi yang dapat diproses.

Ditanya pelaksanaan bantuan lain selepas SARA, Johan berkata kerajaan akan lebih teliti untuk memastikan apa jua pelaksanaan bakal diperkenalkan dapat menampung keperluan dan memberi ruang yang mencukupi untuk menampung keperluan transaksi.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menebus bantuan memandangkan kredit RM100 sah hingga 31 Disember ini.

Timbalan Pengerusi Tanggungjawab Sosial Korporat DIALOG (MyKasih) Jeffrey Gerard Perera berkata Yayasan MyKasih merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah lama berperanan membantu dalam penyaluran bantuan kepada keluarga memerlukan bersama institusi zakat dan kerajaan negeri.

Dari segi model perniagaan, beliau berkata Yayasan MyKasih membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai berasaskan MyKad yang mula beroperasi pada 2009 dengan kerjasama kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia.

Beliau menjelaskan objektif pada masa itu ialah untuk membangunkan sistem kewangan tanpa tunai menggunakan MyKad sebagai instrumen utama memandangkan semua rakyat Malaysia memilikinya dan dianggap selamat.

Sejak dilaksanakan, penerima program MyKasih berkembang pesat dengan 700,000 penerima SARA pada Januari lepas dan meningkat kepada 5.4 juta penerima pada April 2025 sebelum diperluas kepada 22 juta penerima baru-baru ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *