Jabatan Bantuan Guaman buka cawangan baharu di Sandakan dan Tawau

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) akan diperluas ke kawasan pantai timur Sabah menerusi cadangan penubuhan cawangan baharu di Sandakan dan Tawau.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata JBG sedang menyediakan kertas permohonan penubuhan dua pejabat berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Kerajaan MADANI amat prihatin dalam memastikan hak akses kepada keadilan sentiasa terpelihara terutamanya dari segi bantuan guaman sebagai satu hak asasi.”

“Justeru, JBG telah mengenal pasti keperluan menubuhkan pejabat cawangan di Sandakan dan Tawau,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara.

Cadangan itu dikemukakan oleh Senator Anna Bell Suziena Perian yang meminta kerajaan mempertimbangkan untuk pembukaan pejabat JBG di kawasan pantai timur Sabah.

Kulasegaran berkata program Justice on Wheels (JOW) yang dilaksanakan JBG sejak 2024 akan terus diperluas ke seluruh negara dengan penambahan 11 van JOW baharu tahun ini.

Program JOW melibatkan peruntukan sebanyak 3 juta ringgit.

“Setakat Julai 2025, sebanyak 50 program JOW telah dijalankan di pelbagai negeri.”

“Di Sabah sahaja, perkhidmatan ini telah meliputi kawasan seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Pitas, Tongod, Sipitang dan lain-lain,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyelaras pembangunan Sistem Validasi Aplikasi Islamik.

Sistem ini bagi memastikan aplikasi berkaitan Islam yang berada di pasaran adalah sahih, tepat dan menepati prinsip syariah.

Beliau berkata inisiatif berkenaan adalah sebagai maklum balas terhadap cadangan yang dibangkitkan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Dewan Negara.

“Cadangan membangunkan sistem ini amat signifikan dan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI ke arah transformasi digital negara.”

“Malah persidangan Majma Fiqh Islami anjuran Rabitah dan JAKIM baru-baru ini turut memberikan perhatian khusus terhadap cabaran AI dalam isu fiqah,” katanya.

Mohd Na’im berkata JAKIM akan meneliti secara terperinci aspek teknikal, perundangan, syariah serta tahap kesiapsiagaan data sebelum sistem berkenaan direalisasikan sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata fasa pembangunan projek Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya telah selesai menjalani makmal kajian nilai.

Beliau berkata ia akan dibentangkan dalam jawatankuasa pemandu kerjasama awam swasta sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.

“Ia dijangka (dibentangkan) pada Oktober 2025 sebagai Memorandum Jemaah Menteri daripada JPM iaitu prasyarat untuk semua program Perkongsian Awam Swasta (PPP) atau inisiatif kewangan swasta (PFI).”

“Konsep pembangunan bandar padat berintegrasi tinggi ini akan menjadi nukleus MADANI untuk direplikasikan juga di kota-kota lain seluruh negara,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Ros Suryati Alang.

Dr Zaliha berkata sistem pengangkutan awam turut dirancang untuk menghubungkan Kota MADANI ke presint utama kerajaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *