Dua ibu tunggal didakwa pecah amanah wang JMB lebih RM75,000

KUALA LUMPUR: Dua ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai berjumlah lebih 75,000 ringgit milik Badan Pengurusan Bersama sebuah kondominium tiga tahun lepas.

Nurliyana Amirah Zulkifli, 34, dan Nuradila Razali, 38, masing-masing didakwa atas kapasiti mereka sebagai pentadbir dan pembantu pentadbir yang diamanahkan menguruskan harta serta kewangan syarikat.

Mereka didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil dan menggunakan wang tunai kutipan daripada penduduk berjumlah 75,776.20 ringgit.

Wang tunai itu merupakan duit kutipan daripada penduduk yang diserahkan bagi tujuan penyelenggaraan, deposit keluar dan masuk rumah serta bil-bil yang sepatutnya diserahkan kepada pihak JMB kondominium terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 17 Januari dan 17 Ogos 2022 di JMB berkenaan di Jalan Bemban, Off Jalan Ampang, dekat sini.

Kes ini didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abdul Latip tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin 20,000 ringgit dengan seorang penjamin jika mahkamah memberikan jaminan.

Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dan Anasuha Atiqah Mat Saidi yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guam mereka ialah ibu tunggal yang menjadi penanggung utama keluarga.

Mereka juga menjaga anak-anak berusia antara setahun hingga 12 tahun.

Hakim Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh diikat jamin 5,000 ringgit dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *