KUALA LUMPUR: Polis menyerbu 395 premis perjudian yang disyaki beroperasi tanpa lesen di seluruh negara menerusi Op Dadu Mega pada Sabtu dan Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 272 premis menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.
Beliau menyatakan 245 premis merupakan penjualan loteri awam haram manakala 20 premis menjalankan perjudian dalam talian.
Lima premis beroperasi sebagai pusat hiburan keluarga haram dan dua premis dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian.
Serbuan itu berjaya menahan 328 orang terdiri daripada 286 lelaki dan 42 wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram tersebut.
Mereka yang ditahan termasuk pemilik premis, penjaga premis, pekerja premis serta pemain yang sedang berjudi.
Seramai 258 daripada yang ditahan merupakan warga tempatan manakala 70 lagi adalah warga asing.
Polis turut merampas sejumlah wang tunai, beberapa peralatan komputer, telefon bimbit dan mesin perjudian.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 melibatkan beberapa seksyen termasuk Seksyen 4A(a) dan Seksyen 9(1).
Siasatan turut meliputi Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) akta sama.
Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan atau Ordinan Hiburan Negeri. – Bernama