Terengganu terima jambatan Bailey RM4.55 juta persediaan Monsun Timur Laut

DUNGUN: Terengganu muncul antara negeri pertama menerima jambatan Bailey sebagai aset strategik untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat menyatakan jambatan bernilai 4.55 juta ringgit itu disediakan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Jambatan sepanjang 42.67 meter dengan lebar 4.2 meter ini membolehkan pemulihan sementara jaringan jalan raya dilakukan dengan lebih pantas sekiranya berlaku bencana terutama pada musim banjir.

“Ia sekali gus memastikan bantuan kecemasan dan logistik dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di bawah peruntukan MARRIS Terengganu di Kampung Durian Mentangau, di sini hari ini.

Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata JKR telah menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey Negeri Terengganu yang dianggotai 35 pegawai teknikal terlatih dari JKR bahagian, JKR daerah dan JKR cawangan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penggunaan jambatan itu kelak.

“Memandangkan ini adalah kali pertama JKR Terengganu menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey sendiri, sesi latihan telah dijalankan pada 10 hingga 14 Ogos lepas sebagai kesiapsiagaan JKR Terengganu menghadapi bencana khususnya semasa MTL nanti,” katanya.

Hanafiah berkata kerajaan negeri pada hari ini turut menerima dua buah projek yang berjaya disiapkan JKR Terengganu di bawah peruntukan MARRIS iaitu projek penggantian jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau di sini dan projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah di Setiu.

Beliau berkata jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi berkenaan mengalami kerosakan serius berikutan banjir besar pada 2022, sehingga menjejaskan hubungan antara kawasan dan menyukarkan pergerakan penduduk.

Hanafiah berkata sebanyak 5.77 juta ringgit diperuntukkan kerajaan negeri melalui peruntukan MARRIS bagi projek di Jalan Durian Mentangau manakala pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Pancor Merah pula melibatkan kos 4.95 juta ringgit. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *