Wanita Orang Asli buang bayi baru lahir di Gerik, kes disiasat

IPOH: Kehadiran seorang wanita Orang Asli berusia 18 tahun dalam keadaan pendarahan serius ke Klinik Kesihatan RPS Kemar membawa kepada penemuan mayat bayi baru lahir.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya menerima panggilan daripada petugas klinik pada kira-kira 5.30 petang berhubung kejadian itu.

Beliau berkata selepas pemeriksaan oleh pihak klinik, wanita tersebut kemudiannya mengaku baru bersalin.

“Wanita itu melahirkan bayi tersebut bersendirian di rumah dan bertindak membuang bayi itu di belakang rumahnya,“ katanya dalam kenyataan.

Noor Hisam berkata susulan itu polis menjalankan siasatan lanjut di lokasi dan menjumpai bayi tersebut yang disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *