Prinsip saling menghormati, adil dan saksama perkukuh perpaduan negara

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu terus teguh menjunjung prinsip saling menghormati, keadilan dan kesaksamaan untuk memastikan negara kekal makmur bersatu serta harmoni, kata aktivis perpaduan Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata negara kini berdepan pelbagai cabaran dalam usaha membina dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak membiarkan kita berpecah disebabkan perbezaan kaum dan agama,” katanya.

Aktivis sosial itu turut menyuarakan beberapa kebimbangan bagaimana polarisasi kaum dan agama, jurang ekonomi, penyebaran maklumat palsu di media sosial, eksploitasi politik terhadap isu sensitif dan nilai-nilai kebersamaan yang semakin lemah, memberi ancaman kepada perpaduan negara.

Beliau berkata salah faham dan kurangnya kepercayan antara komuniti, kadangkala dimarakkan oleh retorik tidak bertanggungjawab seterusnya mewujudkan perpecahan yang sepatutnya tidak berlaku.

“Jurang pendapatan dan peluang dalam kumpulan yang berbeza boleh menimbulkan rasa terpinggir, diskriminasi dan ketidakadilan yang akhirnya melemahkan rasa kebersamaan,” katanya.

Lee menambah isu sensitif berkaitan kaum dan agama kadangkala dimanipulasi untuk kepentingan politik jangka pendek sekali gus menggadaikan perpaduan jangka panjang negara.

“Kurang penekanan terhadap perkongsian identiti nasional, saling menghormati dan belas ihsan juga menyukarkan usaha untuk merapatkan jurang perbezaan dan tumpuan untuk mencapai matlamat bersama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa setiap rakyat supaya memainkan peranan masing-masing dalam menangani cabaran tersebut, sambil menambah pemimpin di semua peringkat pula perlu bertindak secara bertanggungjawab dengan mengelakkan neratif yang memecahbelahkan sebaliknya menggalakkan nilai keterangkuman dan saling menghormati.

Lee berkata sistem pendidikan, media dan pertubuhan masyarakat turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan persefahaman, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian.

Tambah beliau perpaduan sejati tidak boleh dipaksa ia perlu dipupuk melalui usaha berterusan, perbincangan terbuka dan komitmen yang tulen bagi membina negara.

“Jika kita kekal teguh mempertahankan prinsip hormat-menghormati, keadilan dan kesaksamaan, Malaysia akan terus menjadi negara yang bersatu dan harmoni,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *