Penerima manfaatkan bantuan SARA RM100 untuk bantu ibu bapa

SEREMBAN: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang dikreditkan ke MyKad sejak semalam bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup malah membuka ruang kepada penerima untuk menzahirkan kasih sayang dengan membantu ibu bapa menyediakan barangan keperluan harian.

Seorang doktor di sebuah hospital swasta di sini Dr Nursarah Izzah Ismail, 28, berkata beliau memanfaatkan peluang itu untuk menambah keperluan harian ibu bapanya yang menetap di Melaka.

“Dengan SARA, saya akan belikan barangan keperluan harian tambahan untuk ibu dan ayah, memandangkan selama ini saya memang selalu membelikan barangan keperluan asas untuk mereka,“ katanya kepada Bernama.

Beliau menambah “ini juga merupakan satu peluang bermakna buat saya, kerana inisiatif ini dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk keperluan sendiri, tetapi juga untuk membantu ibu bapa.”

Di Terengganu, langkah sama turut diambil seorang pegawai teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Selangor yang berkongsi rezeki dengan memanfaatkan pemberian tersebut untuk keperluan dapur ibunya yang tinggal di Felda Neram 2 di Kemaman.

Siti Nadiah Jamil, 46, berkata nilai sumbangan tersebut tidak seharusnya dipandang rendah kerana ia sangat membantu dalam menampung perbelanjaan harian.

“Kebetulan saya pulang ke kampung sempena cuti Hari Kebangsaan dan memandangkan SARA ini sudah boleh digunakan, jadi saya ambil peluang bawa emak Tengku Latipah Tengku Ismail, 68, berbelanja di pasar raya Mydin, di sini,“ katanya.

Beliau menjelaskan “saya menggunakan wang SARA saya dan suami untuk membeli barang dapur yang emak perlukan. Banyak juga barangan yang dapat beli. Barang asas seperti beras, gula dan minyak cukup untuk kegunaan setengah bulan.”

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Anwar berkata pemberian bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Bantuan SARA sebanyak RM100 boleh dibelanjakan hingga 31 Dis 2025. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *