Lapan wira sukan termasuk Pearly-Thinaah dilantik Ikon Perpaduan 2025

KUALA LUMPUR: Lapan wira sukan negara termasuk beregu wanita utama dan Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia Pearly Tan-M. Thinaah telah dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan turut dilantik pemain badminton pasangan beregu Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani serta Wan Muhammad Arif Shaharudin-Yap Roy King.

Beregu dart negara Tengku Hadzali Tengku Mustaffar-Tan Jenn Ming juga antara atlet terpilih sebagai ikon perpaduan.

“Sukan merupakan wadah yang paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.”

“Setiap kali atlet negara ini berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka.”

Kementerian menyatakan atlet terpilih bukan sahaja mencipta kejayaan antarabangsa malah menjadi teladan dengan membuktikan semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan.

Mereka juga berperanan memperkukuh semangat Malaysia MADANI melalui pencapaian sukan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berharap semua Ikon Perpaduan dapat terus menyebarkan mesej perpaduan.

Beliau berkata ini selaras aspirasi Malaysia untuk membina negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Kementerian percaya dengan semangat dan iltizam yang ditonjolkan oleh ikon-ikon ini, nilai-nilai perpaduan dapat terus disemarakkan.”

Aaron menegaskan ikon-ikon ini dapat menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu identiti kebangsaan melalui pengaruh positif sukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *