Anwar gesa Asia laksana kesalingbergantungan berdaulat bina masa depan

TIANJIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Asia merintis laluan kesalingbergantungan berdaulat bagi memupuk kestabilan dan keamanan global.

Beliau menegaskan kekuatan Asia terletak pada keupayaan mempertahankan kedaulatan masing-masing sambil kekal terbuka antara satu sama lain.

Anwar mengingatkan kelemahan globalisasi tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewujudkan blok eksklusif atau benteng ekonomi.

“Pendekatan sedemikian hanya akan meningkatkan perpecahan dan risiko ekonomi yang tidak berkembang,” katanya dalam syarahan awam di Universiti Tianjin.

Beliau mencadangkan laluan kesalingkebergantungan berdaulat sebagai seni berdiri dengan kebanggaan tanpa perlu berdiri secara terasing.

“Ia adalah keyakinan bahawa sesebuah negara boleh kekal dengan identiti penuh mereka sendiri sambil terus terbuka kepada aliran perdagangan dan pelaburan.”

Perdana Menteri menegaskan kemerdekaan dan kesalingbergantungan perlu dilihat sebagai pelengkap, bukannya bertentangan.

Beliau berkata dunia hari ini memerlukan pendekatan merangka kebergantungan yang memperkukuh kedaulatan, bukan melemahkannya.

“Kesalingbergantungan harus memberi keyakinan bahawa dengan saling berhubung, daya tahan negara akan berlipat kali ganda.”

Anwar turut menyingkap sejarah pelayaran Laksamana Zheng He yang menghubungkan Melaka dengan Afrika dan Arab tanpa penaklukan.

Tradisi keterbukaan ini mencerminkan satu model libat urus yang tersendiri bagi Asia.

Beliau menegaskan Asia mempunyai tanggungjawab istimewa membentuk bab baharu dalam orde global.

“Kita bukan sekadar objek dalam strategi orang lain. Kita adalah pengarang kepada takdir kita sendiri.”

Anwar menyeru agar menolak godaan percaya dunia tiada pilihan lain selain berpecah kepada blok.

“Perpecahan bukanlah takdir. Kita boleh memilih kerjasama berbanding paksaan, jambatan berbanding halangan.”

Beliau berkata di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN telah mengangkat tema keterangkuman dan kemampanan sebagai tema panduan.

Anwar menyatakan China memainkan peranan unik sebagai kuasa tamadun yang membentuk keterbukaan rantau ini.

“Rantau ini melihat ke arah Beijing bukan sahaja untuk kedinamikan ekonomi tetapi juga jaminan masa depan Asia yang terbuka dan stabil.”

Kuasa pertengahan seperti Malaysia mempunyai tanggungjawab bertindak sebagai jambatan dan mengingatkan kuasa besar tentang kepentingan kawal diri.

“Masa depan Asia akan terletak pada kestabilan – keyakinan untuk bertindak tanpa tergesa-gesa serta kesabaran memberi setiap negara ruang merasa selamat.”

Syarahan bertajuk “Kesalingbergantungan Berdaulat: Membina Masa Depan Bersama di Asia” itu sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Tianjin dan Beijing. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *